26.11.22

K2 : S8 - Novel - Pengajaran yang berkaitan dengan ketabahan berdasarkan sebuah novel yang dipelajari

Novel yang saya pelajari ialah Bimasakti Menari.

Pengajaran yang berkaitan dengan ketabahan berdasarkan novel ini ialah kita hendaklah tabah dalam menghadapi rintangan untuk mencapai matlamat yang dihasratkan. Buktinya, Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik tabah menghadapi cabaran dalam usaha untuk mengembalikan kegelapan malam untuk membolehkan aktiviti pencerapan bintang dan menjaga habitat kelip-kelip. Mereka tetap berusaha dengan gigih untuk memastikan kerajaan negeri meluluskan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor 

  Selain itu, pengajaran lain yang berkaitan dengan ketabahan ialah kita hendaklah tabah menghadapi ancaman yang membahayakan keselamatan diri. Buktinya, Muhammad Taufik tabah menghadapi risiko yang membahayakan keselamatan dirinya. Walaupun dipukul sehingga cedera parah dan diculik oleh penjahat upahan Dato' Johann Arlington-Majid, dia tetap tidak berputus asa untuk membantu Nurul Hafsa merealisasikan hasrat untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap.

K2 : S8 - Novel - Peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan watak utama

Novel yang saya pelajari ialah Bimasakti Menari.

Peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan watak utama dalam novel ini ialah apabila Nurul Hafsa mengemukakan hujah yang dapat diterima oleh sekumpulan kanak-kanak dari Hiroshima, Jepun yang mengunjungi Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor pada malam bintang tidak dapat dicerap dengan mata kasar akibat daripada masalah pencemaran cahaya. Peristiwa ini menunjukkan kebijaksanaan watak utama dalam menyampaikan hujah yang bernas dan rasional.

Selain itu, peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan watak utama ialah apabila Nurul Hafsa bekerjasama dengan Muhammad Taufik untuk melaksanakan projek Kawasan Simpan Langit Gelap bagi menangani masalah pencemaran cahaya di Kuala Selangor. Dia cuba memulihkan populasi kelip-kelip dan mengembalikan kegelapan langit di Kuala Selangor sebagai kawasan mencerap bintang dengan sokongan kerajaan negeri. Peristiwa ini menunjukkan kebijaksanaan watak utama dalam menjalankan usaha untuk melestarikan alam sekitar

19.8.21

K2 : S8 - Novel - Peristiwa yang menarik dalam novel (novel Pantai Kasih)

 Huraikan dua peristiwa yang menarik berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari. [6 markah]

Novel yang saya pelajari ialah Pantai Kasih.

Antara peristiwa yang menarik dalam novel ini ialah apabila anak tunggal Dr Raiha iaitu Rohayu meninggal dunia dalam tragedi kebakaran kereta mewah suaminya, Dr Sadiz. Peristiwa ini menarik kerana watak utama iaitu Dr Raiha begitu tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan dan dia reda akan ketentuan takdir.

Selain itu, peristiwa yang menarik ialah apabila Dr Raiha menjalankan pembedahan sendi tulang pinggul kali keenam ke atas Unong Siron untuk membantu menyembuhkannya. Peristiwa ini menarik kerana Dr Raiha sanggup mengambil tanggungjawab dan berusaha dengan penuh dedikasi sebagai seorang doktor untuk membantu memulihkan pesakit yang sudah lama menanggung kesakitan.

16.8.21

K2 : S8 - Novel - Peristiwa yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan (novel Pantai Kasih)

Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan peristiwa yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan. [6 markah]

Novel yang saya pelajari ialah Pantai Kasih.

Antara peristiwa yang boleh dijadikan panduan dalam novel ini ialah apabila anak tunggal Dr Raiha iaitu Rohayu meninggal dunia dalam tragedi kebakaran kereta mewah suaminya, Dr Sadiz. Peristiwa ini memberikan panduan kepada kita supaya sentiasa tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan.

Selain itu, peristiwa yang boleh dijadikan panduan ialah apabila Dr Raiha menjalankan pembedahan sendi tulang pinggul kali keenam ke atas Unong Siron untuk membantu menyembuhkannya.Peristiwa ini memberikan panduan kepada kita agar berusaha dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab untuk membantu memulihkan pesakit.

Di samping itu, peristiwa yang boleh dijadikan panduan dalam novel ini ialah apabila Dr Raiha menegur sikap Felicia Landosi yang melayan ibu Unong Siron dengan kasar. Peristiwa ini memberikan panduan kepada kita supaya melayan semua orang dengan adil dan tidak memandang hina kepada orang lain.

9.8.21

K2 : S4 - Bahasa Melayu Standard

Soalan 4 : BAHASA MELAYU STANDARD
Baca petikan bahasa Melayu Klasik di bawah ini dengan telitinya. Kemudian, tulis petikan tersebut semula dalam bahasa Melayu Standard tanpa mengubah bentuk dan maksud asalnya.

Contoh:

Bahasa Melayu Klasik

Bahasa Melayu Standard

Maka tatkala itu Tuan Sidi Arab itu pun ada menghadap Sultan Muzaffar Syah.

 

Pada masa itu Tuan Sidi Arab datang menghadap Sultan Muzaffar Syah.

Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda.

 

Setelah Tuan Sidi Arab mendengar berita bahawa Cau Pandan akan menyerang Melaka, dia berdiri di hadapan Sultan Muzaffar Syah.

Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam.

 

Dia pun menghalakan panahnya ke arah negara Siam.

Maka kata Tuan Sidi Arab, sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau, Cau Pandan.”

Sambil menarik panahnya itu, Tuan Sidi Arab berkata, “Mati engkau, Cau Pandan.”

 

Maka Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; maka titah baginda pada Tuan Sidi Arab itu, “Jikalau sungguh mati Cau Pandan, sungguhlah tuan keramat.”

Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; lalu bertitah kepada Tuan Sidi Arab, “Jikalau Cau Pandan betul-betul mati, tuan memang orang yang keramat / hebat.”

 

Adapun Cau Pandan itu, lagi di benua Siam, maka berasa kepada dadanya seperti kena panah, maka Cau Pandan pun sakit muntahkan darah lalu mati.

 

Cau Pandan yang pada masa itu berada di negara Siam, berasa dadanya seperti kena panah. Lalu dia pun sakit sehingga memuntahkan darah dan mati.

Maka tidaklah jadi Siam menyerang Melaka, sebab mati Cau Pandan itu.

 

Siam pun membatalkan rancangan untuk menyerang Melaka kerana Cau Pandan telah mati.

 

 Jawapan:

Pada masa itu Tuan Sidi Arab datang menghadap Sultan Muzaffar Syah. Setelah Tuan Sidi Arab mendengar berita bahawa Cau Pandan akan menyerang Melaka, dia berdiri di hadapan Sultan Muzaffar Syah. Dia pun menghalakan panahnya ke arah negara Siam. Sambil menarik panahnya itu, Tuan Sidi Arab berkata, “Mati engkau, Cau Pandan.” Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; lalu bertitah kepada Tuan Sidi Arab, “Jikalau Cau Pandan betul-betul mati, tuan memang orang yang hebat.” Cau Pandan yang pada masa itu berada di negara Siam, berasa dadanya seperti kena panah. Lalu dia pun sakit sehingga memuntahkan darah dan mati. Siam pun membatalkan rancangan untuk menyerang Melaka kerana Cau Pandan telah mati.